KERETA curi yang digunakan penjenayah sebelum ditahan polis.
KERETA curi yang digunakan penjenayah sebelum ditahan polis.

Johor Bahru: Empat penjenayah termasuk tiga wanita ditahan polis selepas dikejar sejauh lima kilometer sebaik melarikan kereta milik warga emas di Jalan Serampang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, enam penjenayah terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex.

Penjenayah mencederakan lelaki warga emas berusia 75 tahun sebelum melarikan Perodua Kenari milik mangsa.

Mangsa cedera di leher dan patah tulang rusuk kanan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, hasil maklumat mangsa, kereta peronda polis yang melakukan rondaan cegah jenayah mengesan Hyundai Starex berkenaan di sekitar Majidee.

“Suspek diarahkan berhenti namun terus memecut sebelum Hyundai Starex berkenaan terhenti di Jalan Bunga Ros, Majidee selepas kedua-dua tayar depan rosak.

“Tayar rosak selepas penjenayah merempuh beberapa kenderaan awam di laluan itu dalam usaha melarikan diri,” katanya.

Menurut Sulaiman, daripada enam penjenayah yang menaiki Hyundai Starex itu, tiga wanita ditahan di lokasi kejadian manakala tiga lagi melarikan diri.

Sulaiman berkata, pihaknya melancarkan Ops Kesan dan seorang daripada tiga suspek yang bebas ditahan di lokasi berhampiran ketika menyembunyikan diri.

“Seorang daripada dua suspek yang bebas sempat melarikan kereta Toyota Vios milik wanita berusia 45 tahun di Jalan Antoi, Majidee selepas memperdayakan mangsa.

“Suspek mendakwa ada orang mahu membunuhnya, selain meminta air kerana haus. Mangsa meninggalkan keretanya di luar rumah masuk untuk memaklumkan anaknya,” katanya.

Menurutnya, ketika keluar dari rumah, mangsa mendapati Toyota Viosnya tiada.

Menurut Sulaiman, siasatan awal mendapati Hyundai Starex dinaiki penjenayah dilaporkan hilang di Yong Peng, Batu Pahat baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:17 AM