GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Tindakan platform e-dagang secara terang-terangan membenarkan penjualan senjata tiruan biarpun ia menyalahi undang-undang negara perlu disekat dan diambil tindakan tegas.

Berdasarkan pemerhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Inspirasi Negaraku Malaysia (Inspirasi Negaraku), sekurang-kurangnya 50 penjual didapati memasarkan produk itu tanpa sekatan di platform e-dagang terkemuka di negara ini.

Senjata tiruan terbabit dijual di bawah kategori alat permainan kanak-kanak yang mempunyai persamaan hampir 100 peratus dengan senjata api sebenar.

Timbalan Pengerusinya, Muhammad Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu lebih bertegas kerana ia membuka ruang kepada penggunaan untuk perlakuan jenayah.

Katanya, platform e-dagang tidak terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang kerana membenarkan penjualan bahan terlarang itu.

"Ia sekali gus menjadikan mereka rakan subahat kepada penjualan senjata tiruan," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad yang juga seorang peguam berkata, peruntukan undang-undang amat jelas melalui Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Katanya, individu yang menyimpan, memiliki atau dalam kawalannya satu senjata tiruan boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Pemilik platform e-dagang perlu lebih bertanggungjawab dalam menyekat penjualan senjata tiruan yang menyalahi undang-undang ini.

"Difahamkan, setiap pembukaan akaun di platform e-dagang memerlukan kelulusan daripada pemiliknya sebelum dibenarkan menjual produk," katanya.

Harian Metro pada 28 Oktober lalu melaporkan polis berjaya merampas 794 objek permainan menyerupai pistol, raifal dan 'machine gun' dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu, Sabah.

Lapan individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 2:06 PM