GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Rakyat memerlukan pengecualian bayaran bulanan bagi rumah, kedai dan kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, kerajaan terutama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu melaksanakan moratorium bagi meringankan beban rakyat.

Katanya, moratorium itu perlu diberi sekurang-kurangnya enam bulan.

"Apabila PKP 2.0 dilaksanakan, bermakna banyak sektor ekonomi terkesan biarpun waktu perniagaan dipanjangkan. PKP ini mengehadkan individu supaya keluar apabila perlu, jadi impak ekonomi atau perniagaan memang rendah kerana orang kurang membeli.

"Rakyat yang kehilangan kerja, pendapatan berkurangan amat memerlukan moratorium ini. Ia ternyata meringankan beban dan membantu mereka seperti PKP pertama kali dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

"PKP ini disambung sehingga 18 Februari, kita juga tidak tahu sampai bila ia dilanjutkan. Saya harap kerajaan terutama Menteri Kewangan dapat menimbangkan cadangan pemberian moratorium semula dalam tempoh tertentu," katanya.

Jelas Michael Tay, kerajaan juga bersifat proaktif membantu rakyat dengan melaksanakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pengeluaran i-Sinar dan sebagainya.

Namun, pada masa sama rakyat terpaksa membayar bulanan kenderaan dan rumah walaupun tidak mempunyai pendapatan seperti biasa.

"Jika moratorium ini diberikan ketika PKP 2.0, saya yakin rakyat lebih berterima kasih kepada kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 7:52 PM