GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Muar, Johor disahkan positif Covid-19, semalam.

Ketiga-tiga mereka yang bukan petugas di bahagian perkhidmatan pelanggan Kedai Tenaga kini sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontak rapat mereka pula diminta menjalani ujian calitan serta menjalani kuarantin di rumah.

"Sebagai syarikat yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan warga kerja dan pelanggan kami, Pejabat TNB Muar ditutup mulai semalam (kelmarin) untuk kerja sanitasi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pejabat ini akan dibuka selepas mendapat kelulusan KKM.

"Bagaimanapun penutupan pejabat ini tidak memberi kesan kepada bekalan elektrik di Muar," katanya.

Menurutnya, semua urusan perkhidmatan TNB menerusi Kedai Tenaga seperti semakan dan pembayaran bil hanya boleh dilaksanakan menerusi portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau applikasi myTNB yang boleh dimuat turun di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor.

"Warga kerja dan pelanggan TNB dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun selain mematuhi SOP ditetapkan KKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:11 PM