TNBtemujanji memudahkan urusan pelanggan TNB yang mahu berurusan di Kedai Tenaga.
TNBtemujanji memudahkan urusan pelanggan TNB yang mahu berurusan di Kedai Tenaga.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tenaga Nasinal Berhad (TNB) memperkenalkan perkhidmatan janji temu dalam talian baharu yang dikenali sebagai TNBtemujanji bagi menjimatkan waktu menunggu ketika melakukan sebarang transaksi di Kedai Tenaga.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, buat masa ini TNBtemujanji membolehkan pelanggan membuat janji temu di 117 Kedai Tenaga di Semenanjung dan selebihnya akan beroperasi menjelang hujung bulan ini.

"Pelanggan hanya perlu melayari portal myTNB (www.mytnb.com.my/TNBtemujanji) untuk memilih Kedai Tenaga pilihan mereka dan menetapkan tarikh serta waktu lawatan.

"Pelanggan boleh memilih tarikh janji temu sekurang-kurangnya satu hari bekerja lebih awal dan menjadual semula janji temu mengikut keselesaan mereka.

"Perkara ini membolehkan TNB menawarkan lebih banyak nilai tambah kepada pelanggan, sejajar dengan usaha kami dalam meneroka cara baharu bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan berinteraksi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Megat Jalaluddin berkata, walaupun pihaknya kini sedang giat mendigitalkan pelbagai pilihan untuk berinteraksi kepada pelanggan yang ingin berurusan dengan pihaknya, namun beliau memahami masih ada individu lebih selesa untuk menghadiri Kedai Tenaga secara bersemuka.

"Dengan adanya platform dalam talian bagi membuat janji temu, pelanggan dapat merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan giliran.

"Ini juga adalah antara langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan dan pekerja kami menerusi kawalan kumpulan yang lebih baik di Kedai Tenaga sepanjang pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 4,600 janji temu sudah dibuat oleh pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan dan paling tinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Mengulas mengenai aplikasi TNBtemujanji, Megat Jalaluddin berkata, waktu janji temu boleh dipilih dari slot masa setiap 30 minit bermula dari jam 9 pagi sehingga 30 minit sebelum waktu operasi Kedai Tenaga berakhir.

"Sejurus selepas janji temu dibuat, pelanggan akan menerima satu notifikasi pengesahan menerusi emel dan sistem pesanan ringkas berserta kod QR janji temu sebagai rujukan.

"Apabila pelanggan berada di Kedai Tenaga yang dipilih bagi janji temu, mereka hanya perlu menunjukkan kod QR berkenaan kepada pegawai Perkhidmatan Pelanggan.

"Pelanggan digalakkan untuk membawa bersama kad pengenalan dan bil elektrik mereka (salinan digital dari myTNB atau salinan fizikal). Bagaimanapun, kami mengalakkan semua pelanggan untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak penting," katanya.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun dari Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal myTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 4:59 PM