Shahrinnahar Latib

Temerloh: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah gesa lebih ramai pihak swasta atau persendirian tampil membantu membina kembali rumah mangsa yang terjejas dengan banjir.

Baginda bertitah, ada rumah di sepanjang Sungai Pahang dan sungai lain yang terjejas banjir sebelum ini perlu dibina semula.

"Pihak swasta dan persendirian diminta tampil untuk membantu membina rumah di sepanjang Sungai Pahang dan sungai-sungai lain yang sering dinaiki air.

"Rumah yang dibina juga mestilah tinggi supaya tidak ditenggelami banjir pada masa akan datang," titah baginda ketika mencemar duli meninjau tapak Rumah Bantuan Banjir di Kampung Lompat di sini. hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sehubungan itu, baginda turut meminta kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan rumah berkenaan mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

"Saya harap rumah ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Saya sendiri akan meninjau dan melihat sendiri perkembangan rumah ini," titah baginda.

Dalam kunjungan itu juga, Sultan Abdullah berkenan melawat ke tapak pembinaan tiga rumah baharu masing-masing di Kampung Lompat, Kampung Sungai Dingin dan Kampung Pengkalan Manggis.

Kos pembinaan ketiga-tiga rumah berkenaan adalah sumbangan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam lawatan berkenaan, Tengku Abdullah turut berkenan mendengar taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria mengenai pembinaan rumah berkenaan.

Rumah setingkat yang dibina dengan kos RM100,000 itu dijangka siap dalam tempoh 16 minggu dan akan dibina dengan tiang setinggi 2.4 meter dari aras tanah supaya dapat terhindar daripada banjir.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) ketika berkenan menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Aceh di Pekan 14 Januari lalu. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 2:53 PM
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli melawat pembinaan Rumah Bantuan Banjir, bagi Ramlah Hitam, 81, di Kampung Lompat di sini. Turut berangkat anakanda baginda,  Tengku Hassanal dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah. FOTO Mustaffa Kamal