Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Kerajaan negeri menasihatkan individu di Perlis yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin supaya menghubungi pusat kesihatan terdekat dengan segera.

Ini berikutan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu disahkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan hari ini.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya difahamkan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar yang dihadiri oleh Zahidi pada 3 Januari lalu.

"Kita menasihatkan orang yang ada kontak rapat dengan beliau untuk menghubungi pusat kesihatan dan laporkan diri supaya dapat dibuat saringan.

"Kita mengambil maklum bahawa kemungkinan ada kontak rapat dan harap pihak hospital serta Jabatan Kesihatan Negeri dapat 'follow-up' dengan Umno Padang Besar terutama sekali bagi mereka yang menghadiri mesyuarat berkenaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi peraturan bagi setiap perwakilan Umno yang mesyuarat setiap bahagian di negeri itu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Apa yang kita buat semasa pemilihan atau mesyuarat perwakilan Umno adalah kita pastikan setiap orang mematuhi SOP.

"Ini termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengambil suhu badan," katanya.

Dalam satu kenyataan, Zahidi menjalani ujian saringan kedua Covid-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.

Zahidi dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau pernah menjalani ujian saringan Covid-19 pada 25 Disember lalu dengan keputusan negatif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:16 PM