Maiamalina Mohamed Amin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Proklamasi Darurat yang diisytihar sehingga 1 Ogos memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menyelesaikan cadangan yang tidak dapat dijalankan sebelum ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ia termasuk menaikkan jumlah denda kepada pesalah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19, terutamanya bagi syarikat.

"Syarikat yang besar boleh menyelesaikan denda RM1,000 (maksimum dikenakan ketika ini), just like that (begitu sahaja), begitu juga dengan kelab malam yang beratus-ratus tangkapan kita buat.

"Di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), maksimum kompaun adalah RM1,000 sahaja dan kita tidak boleh ubah sebab sebarang pindaan akta perlu dibawa ke Parlimen, jadinya memakan masa panjang.

"Dengan adanya Proklamasi Darurat ini, kita boleh membuat ordinan dan kita boleh menentukan jumlah (denda) yang boleh dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP atau mungkin menambah hukuman penjara," katanya pada sidang media mengenai PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi pemasyhuran ordinan juga membolehkan kerajaan mengekang tindakan yang dilihat secara terbuka melanggar SOP yang ditetapkan.

GAMBAR fail. FOTO Bernama
GAMBAR fail. FOTO Bernama

Menurut Ismail Sabri, kelebihan Proklamasi Darurat juga menambah kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini boleh menangkap pesalah termasuk penceroboh di sempadan ketika melaksana Ops Benteng.

"Sebelum ini ATM hanya menangkap dan tak boleh mengambil kuasa lebih menahan pesalah sementara polis datang, tetapi dengan Proklamasi Darurat ini, ATM boleh diberikan tambahan kuasa sebagaimana polis menangkap orang melakukan kesalahan," katanya.

Katanya, beliau percaya ordinan darurat akan dapat membantu mengurangkan penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:29 PM