GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Individu yang mahu masuk ke Kelantan perlu mengemukakan keputusan ujian swab selain perlu memakai gelang merah jambu, mulai tengah malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata perkara itu perlu dikemukakan ketika sekatan jalan di pintu masuk di negeri ini termasuk lapangan terbang.

"Pendekatan itu dilakukan sebagai usaha untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri ini yang semakin meningkat sejak akhir bulan lalu.

"Justeru, mereka yang mahu masuk ke Kelantan perlu membuat ujian saringan Covid-19 di negeri masing-masing sebelum mengemukakan keputusan ujian berkenaan kepada pihak polis di sekatan jalan.

"Pada masa sama, mereka akan dipakaikan gelang merah jambu dan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, sebarang majlis keraian juga tidak dibenarkan di negeri itu melainkan majlis akad nikah yang hanya boleh dihadiri 20 orang sahaja.

"Untuk majlis lain kita tidak benarkan sama sekali. Pusat rekreasi di Kelantan juga ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita akan meningkatkan penguatkuasaan di dan meminta orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Pasaraya atau kedai makan tidak dibenarkan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:45 PM