YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

"Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azuan Effendy berkata, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

"Namun, ia diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

"Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik," katanya.

Terdahulu Baginda berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Istana Negara semalam.

Azuan Effendy berkata, pada sesi menghadap itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak menyampaikan hasrat dan permohonan agar Proklamasi Darurat bagi Sarawak dapat ditamatkan.

"Pada hari ini, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

"Pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam bermula pada 8 pagi, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah nasihat daripada Perdana Menteri berhubung dengan penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak," katanya.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Azizan Harun bagi menyembah taklimat berhubung dengan perkara yang sama semalam.

Turut hadir menghadap pada sesi itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 5:49 PM