PENGUNJUNG pusat hiburan di kawasan Waterfront, Kota Kinabalu didapati ingkar SOP PKPB tanpa mengamalkan penjarakan fizikal. FOTO JUWAN RIDUAN
PENGUNJUNG pusat hiburan di kawasan Waterfront, Kota Kinabalu didapati ingkar SOP PKPB tanpa mengamalkan penjarakan fizikal. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Mengaku faham akan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun leka kerana muzik yang kuat.

Itu antara pengakuan yang dibuat pengunjung sebuah pusat hiburan yang didapati beroperasi dengan berselindung di sebalik lesen kafe di kawasan Waterfront, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan yang dijalankan polis bermula 10 malam itu, tinjauan mendapati premis berkenaan dipenuhi ratusan pengunjung dalam tempoh masa yang sama.

Semua pengunjung berkenaan juga didapati tidak langsung mengamalkan penjarakan fizikal selaras dengan penguatkuasaan PKPB.

Lebih mengejutkan lagi, operasi yang dilakukan kali ini adalah serbuan ketiga ke premis berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan sebenarnya beroperasi dengan lesen tamat tempoh dan belum diperbaharui.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Katanya, serbuan mendapati premis berkenaan sesak dengan kehadiran lebih 120 individu tanpa menjaga penjarakan sosial antara satu sama yang lain.

"Premis ini hanya menggunakan lesen kafe namun mereka memasang audio muzik yang kuat sehinggakan beroperasi tidak ubah seperti pusat hiburan.

"Kita akan mengambil tindakan tegas kepada semua pelanggan yang ada di premis ini dengan mengenakan kompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020," katanya ketika ditemui selepas serbuan berkenaan.

Habibi berkata, semua peralatan hiburan seperti pembesar suara dan sistem audio turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, memandangkan ia adalah kesalahan berulang, polis akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak meluluskan permit atau operasi premis itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 8:58 AM