ALI Bain (kiri) menunjukkan ikan jelawat yang akan dijual kepada peminat ikan air tawar. FOTO Adnan Ibrahim
ALI Bain (kiri) menunjukkan ikan jelawat yang akan dijual kepada peminat ikan air tawar. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

Kluang: Di sebalik musibah, banjir yang melanda turut membawa rezeki tanpa diduga yang sekali gus memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk yang terjejas.

Itu yang dialami seorang penduduk Kampung Sri Lukut, Ali Bain, 35, yang memasang jaring untuk menangkap ikan mengelilingi rumahnya yang tenggelam sejak hari pertama dilanda banjir Sabtu lalu.

Katanya, setiap hari tidak daripada lima kilogram ikan air tawar seperti jelawat, baung dan lampan serta sebarau tersangkut pada jaringnya.

"Selain dijual ia juga digunakan untuk dimakan sendiri sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Ali yang masih bujang, dengan pendapatan sekitar RM100 untuk setiap kali jualan, ia juga dapat digunakan membantu kakaknya membuat persiapan persekolahan dua orang anak saudaranya.

Sementara itu, penduduk Kampung Contoh, Baharudin Aman, 52, berkata, memang sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung memasang jaring di dalam kebun kelapa sawit berhampiran setiap kali banjir berlaku.

Katanya, dengan memasang jaring di kawasan itu penduduk boleh menjual ikan yang ditangkap di Pekan Kahang.

"Jenis ikan yang diperolehi bergantung kepada saiz jaring yang dipasang namun ramai yang menumpukan kepada tangkapan ikan bersaiz besar seperti lampam, baung dan jelawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:00 PM