PEMILIK sangkar ikan menyelamatkan sebuah kapal pam penyedut pasir yang hanyut di Sungai Pahang, hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
PEMILIK sangkar ikan menyelamatkan sebuah kapal pam penyedut pasir yang hanyut di Sungai Pahang, hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Seramai 14 pemilik sangkar ikan Kampung Jerantut Feri, dekat sini, bergadai nyawa menyelamatkan sebuah kapal penyedut pasir yang hanyut di sungai Pahang, pada 3 petang hari ini.

Pemilik sangkar ikan, Mohd Azrul Mohamad, berkata pemilik sangkar ikan akan sentiasa melihat sangkar agar tidak hanyut berikutan air sungai Pahang semakin naik.

"Kami menguatkan ikatan tali sangkar agar ia tidak dibawa arus deras jika paras air semakin naik dan air semakin laju.

"Ketika saya dan rakan membetulkan ikatan sangkar ikan, kami ternampak kapal penyedut pasir hanyut kira-kira 200 meter dari tempat kami berada," katanya.

Menurutnya, ketika itu 14 pemilik sangkar ikan yang berada di sepanjang sungai berpakat menarik kapal itu kerana bimbang ia akan melanggar sangkar ikan mereka.

Katanya, mereka menaiki tujuh bot gentian kaca dan cuba mengejar dan menghentikan kapal itu agar tidak melanggar sangkar penduduk lain di sekitar tebing sungai itu serta tidak melanggar tiang jambatan.

"Oleh kerana air terlalu deras dan menyedari kapal itu hanyut tanpa ada sesiapa di atasnya, kami mengambil keputusan mengejar kapal itu.

"Akhirnya setelah hampir 40 minit berhempas pulas menarik kapal penyedut pasir itu, ia dapat dihentikan di kawasan Pulau Dedari di tengah sungai Pahang itu," katanya.

Rakannya, Ramizan Mat Lia berkata, kapal pam pasir itu sebenarnya terletak di Kampung Pulau Mangsok, kira-kira 20 kilometer dari situ dan melakukan kerja mengorek pasir di situ.

Katanya, air deras dipercayai menyebabkan ikatannya terputus dan hanyut jauh di sungai Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 10:29 PM