KELAS pengajian agama di masjid dan surau seluruh Melaka ditangguhkan lima hari mulai hari ini. FOTO Hassan Omar
KELAS pengajian agama di masjid dan surau seluruh Melaka ditangguhkan lima hari mulai hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Kelas pengajian agama di masjid dan surau di Melaka ditangguhkan selama lima hari mulai hari ini berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak minggu lalu.

Jabatan Agama Islam Melaka dalam kenyataannya berkata, aktiviti itu membabitkan ceramah, forum, kursus, kelas takmir, kelas pengajian selepas solat Maghrib, kuliah Subuh, kuliah duha, qiamullail, pengajian al-Quran dan program khas.

Bagaimanapun, katanya, solat fardu berjemaah masih dibenarkan selain solat Jumaat, solat jenazah, majlis pernikahan, musafir singgah untuk solat dan bacaan surah Yasin serta tahlil selepas solat Maghrib pada Khamis ini tetapi hanya boleh dihadiri anak kariah.

"Bagi aktiviti yang dibenarkan, jawatankuasa masjid dan surau harus memastikan jemaah mematuhi prosedur operasi standard terutama memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Jemaah ditegah bersalaman semasa dan selepas aktiviti manakala jawatankuasa masjid dan surau perlu menyediakan sistem pendaftaran dan tapisan suhu badan setiap jemaah," katanya.

Menurutnya, individu yang tidak dibenarkan hadir adalah yang bergejala seperti batuk, demam, sakit tekak dan yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalani kuarantin serta warga asing serta kanak-kanak berusia kurang 12 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 4:59 PM