ROSOL menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periok, Hulu Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ROSOL menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periok, Hulu Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Syarikat pengimport daging yang dipercayai menjadi dalang memalsukan logo halal dalam kes kartel daging akan didakwa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kertas siasatan berhubung kes syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru itu hampir lengkap selepas mendapat keputusan analisa daging daripada Jabatan Kimia pada Isnin lalu.

Katanya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

"Mengenai tular di media sosial yang mengatakan semua daging di Malaysia haram, ia tidak betul kerana berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), syarikat ini hanya mengedar kurang satu peratus sahaja dalam pasaran di negara ini.

"Jadi masyarakat tidak perlu gusar mengenai status daging import yang ada di pasaran kerana kita telah ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Gotong Royong dan Penyerahan Sumbangan 'Food Bank' kepada golongan memerlukan di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periok, Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan syarikat yang dilaporkan media tidak sama dengan syarikat yang didakwa di Mahkamah, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihaknya tidak pernah mendedahkan nama syarikat yang disiasat sehingga kes itu didakwa di mahkamah.

"Ada sesetengah pihak mendakwa isu kartel daging haram yang dibongkarkan, tetapi yang didakwa semalam kes lori.

"Tidak sewajarnya timbul isu ini sebab kita sudah maklumkan sebelum ini bahawa syarikat yang dituduh semalam adalah syarikat yang ada kaitan dengan syarikat yang sedang disiasat kerana isu kartel daging haram.

"Jadi apabila ada pihak mengatakan kita melindungi pihak tertentu, ia adalah tuduhan tidak berasas sedangkan semuanya dalam tindakan dan siasatan kita dan syarikat yang menjadi dalang kes itu bakal didakwa," katanya.

Menurutnya, setakat ini, hanya dua syarikat yang terbabit dalam penyalahgunaan logo halal berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa memantau dan meneruskan siasatan sekiranya terdapat pembabitan syarikat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 3:33 PM