ZULKIFLI menyampaikan ucapan perasmian pada program penyampaian sumbangan barang makanan di Dewan Komuniti PPR Taman Wahyu. FOTO Aswadi Alias
ZULKIFLI menyampaikan ucapan perasmian pada program penyampaian sumbangan barang makanan di Dewan Komuniti PPR Taman Wahyu. FOTO Aswadi Alias
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited memastikan golongan asnaf dapat dibantu menerusi pengenalan aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) yang sudah menerima 343 aduan daripada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sejak MoJA dilancarkan pada Jun lalu, seramai 1,174 pengguna sudah mendaftar sebagai rakan MoJA.

Katanya, melalui MoJA, orang awam lebih mudah melaporkan kepada Skuad MAIWP mengenai asnaf pada bila-bila masa.

"MAIWP akan sentiasa menambah baik mutu perkhidmatan bagi memudahkan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan menerima bantuan.

"Pelbagai penambahbaikan sudah dilaksanakan untuk membantu golongan asnaf dari segi kewangan untuk keperluan dan kelangsungan hidup mereka.

"Secara keseluruhannya, dari Januari hingga 30 November lalu, sebanyak RM623.66 juta zakat sudah diagihkan," katanya pada media di program penyampaian sumbangan barangan makanan MAIWP di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu di sini, hari ini.

Beliau berkata, bermula tahun depan, penerima bantuan kewangan akan menerima barangan keperluan asas melalui kedai atau pasar raya terpilih sebagai panel pembekal di setiap parlimen.

Menurutnya, golongan asnaf akan menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai yang mana penerima dibekalkan kad untuk melakukan pembayaran.

"InsyaAllah, pelaksanaan kaedah ini akan memberi manfaat kepada seramai 26,000 asnaf penerima bantuan bulanan dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM93.6 juta bagi tempoh dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 4:18 PM