Abdul Azeez melepaskan peserta  'Program Kayuhan Kempen Baling Cemerlang 2021 di perkarangan Pejabat Daerah Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Abdul Azeez melepaskan peserta 'Program Kayuhan Kempen Baling Cemerlang 2021 di perkarangan Pejabat Daerah Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Lebih 70 peserta menyertai program "Kayuhan Kempen Baling Cemerlang 2021" anjuran pejabat Daerah Baling di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah berkata, kayuhan sejauh 22 kilometer itu bermula dari pekarangan pejabat daerah Baling dan menjelajah ke Mukim Bongor dan Pulai.

Beliau berkata, selain untuk kesihatan ia mempromosi lokasi pelancongan kerana Baling ada beberapa pusat pelancongan menarik untuk dikunjungi seperti Gunung Baling, Pulai dan Gua Sireh yang menjadi tarikan pelancong.

"Kita akan jadikan daerah ini hab pelancongan yang perlu dilawati oleh pengunjung sekaligus dapat membantu ekonomi penduduk tempatan.

"Kayuhan ini juga sebagai aktiviti untuk penjagaan kesihatan supaya masyarakat mengambil berat soal penjagaan kesihatan dalam kehidupan harian," katanya.

Pelepasan program dilakukan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turut serta kayuhan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah Datuk Najmi Ahmad dan Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat.

Mohd Shahadan berkata, banyak tempat menarik ada di daerah ini dan usaha membangunkan beberapa tempat tumpuan sedang dilakukan.

"Bila pelancong luar datang melawat penduduk tempatan juga dapat menambah sumber pendapatan dengan mempelbagai perniagaan.

"Selain itu 'homestay' turut dipenuhi oleh pengunjung," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, sebuah bangunan baru akan dibina di tepi Sungai Ketil berdekatan Kampung Lubuk Pedati yang mampu menjana ekonomi kepada penduduk.

Beliau berkata, pengunjung boleh beriadah, melakukan aktiviti berkayak dengan suasana nyaman di tepi Gunung Baling.

" Bangunan yang menelan kos RM15 juta akan dibangunkan tahun hadapan dan merancakkan lagi hab pelancongan dan ekonomi penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 1:31 PM