Polis menahan dua beranak yang leka menghisap dadah ketika mengadakan Op Tapis Khas di kawasan sawah padi dekat Pekan Darat, Kepala Batas. FOTO / Ihsan PDRM
Polis menahan dua beranak yang leka menghisap dadah ketika mengadakan Op Tapis Khas di kawasan sawah padi dekat Pekan Darat, Kepala Batas. FOTO / Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kelekaan dua beranak melepaskan gian di kawasan sawah padi di Pekan Darat, di sini, tersentap apabila mereka ditahan, hari ini.

Dalam serbuan Op Tapis Khas pada 11 pagi, lelaki berusia 46 tahun yang juga pesawah sedang lalok bersama anak lelakinya berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati suspek membawa anak lelakinya ke sawah berkenaan untuk melepaskan gian dengan menghisap dadah.

"Ketika ditahan dua beranak itu sedang leka menghisap dadah dan saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

"Dalam operasi sama, seramai 25 individu berusia 17 hingga 70 tahun ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, selain polis turut merampas 3.16 gram (g) dadah jenis heroin bernilai RM158," katanya.

Menurutnya, operasi mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah itu bermula 9 pagi hingga 3 petang.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 39 A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:35 PM