Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai agihan kerusi pilihan raya tidak lagi membabitkan antara UMNO dan PAS disalah tafsir pelbagai pihak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya Asyraf Wajdi tidak bermaksud sedemikian tetapi ada laporan dikeluarkan itu tidak tepat dan disalah tafsir.

Menurutnya, UMNO sudah membuat rundingan yang baik dengan PAS dan sudah ada kerangka persefahaman berkaitan pembahagian kerusi.

Tan Sri Annuar Musa. FOTO Saifullizan Tamadi
Tan Sri Annuar Musa. FOTO Saifullizan Tamadi

"Selain itu, melalui Muafakat Nasional (MN) juga setiap dua minggu sekali akan bermesyuarat jadi sudah ada persefahaman yang baik.

"Apa yang dimaksudkan Asyraf Wajdi itu adalah rundingan formal selepas ini kerana menghormati kedudukan PAS sebagai ahli Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada pemberita hari ini.

Jumaat lalu, Asyraf Wajdi melalui laman Facebooknya dilaporkan berkata, perbincangan mengenai agihan kerusi pilihan raya antara UMNO dan PAS tidak lagi membabitkan dua parti itu kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 3:11 PM