GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas berikutan banjir akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran RM500 sebelum pertengahan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, kerajaan negeri melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kini dalam proses akhir untuk mengemas kini data mangsa banjir.

"Jumlah keseluruhan peruntukan yang akan disalurkan bergantung kepada data yang kini sedang dikemas kini.

"Saya juga sudah meminta semua pegawai daerah supaya mengemukakan senarai nama sebelum akhir bulan ini bagi membolehkan bayaran bantuan kecemasan dilakukan sebelum pertengahan bulan depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta bantuan kecemasan itu segera diagihkan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Bagi 360 KIR yang menjadi mangsa banjir lumpur di beberapa kawasan di Air Putih, katanya, semua mereka akan menerima bantuan sekali bayar berjumlah RM1,000 daripada tabung dana khas dan sumber kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 9:37 AM