KELAS bahasa Inggeris yang dikendalikan secara maya oleh guru-guru SK Taman Bukit Indah. FOTO ihsan Microsoft
KELAS bahasa Inggeris yang dikendalikan secara maya oleh guru-guru SK Taman Bukit Indah. FOTO ihsan Microsoft
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Indah di sini, memenangi Anugerah Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools) baru-baru ini.

Anugerah ini mengiktiraf usaha sekolah berkenaan mendigitalkan pendidikan dan kesan luar biasanya terhadap masyarakat sekitar.

Microsoft Malaysia berkata, daripada 325 sekolah dari 58 negara yang menyertai program Sekolah Bestari Microsoft, SK Taman Bukit Indah adalah satu daripada tiga sekolah di peringkat global dan satu-satunya di Asia menerima anugerah berkenaan.

Dua lagi sekolah yang menerima anugerah itu ialah Treorchy Comprehensive School di United Kingdom dan Gray Middle School-Tacoma Public School di Amerika Syarikat.

Guru Besar SK Taman Bukit Indah Rasman Abdul Karim berkata, pihaknya berbangga menerima anugerah ini daripada Microsoft baru-baru ini.

Katanya, guru-guru di sekolah itu memainkan peranan aktif mengguna pakai teknologi dalam pendidikan sebelum penularan Covid-19 lagi.

"Persediaan awal itu membolehkan kami beralih kepada pembelajaran jarak jauh lebih pantas daripada biasa. Ia juga memberi kami masa secukupnya untuk mempersiapkan guru-guru.

"Dalam hal ini, ibu bapa murid juga memainkan peranan sama penting untuk membolehkan pelaksanaan pendidikan digital," katanya pada kenyataan yang dikeluarkan Microsoft Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Rasman, pihaknya berharap, proses transformasi dilakukan sekolah itu akan menjadi pendorong kepada sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia untuk terus memanfaatkan teknologi bagi menambah baik sistem pendidikan.

"Dedikasi kami untuk mencapai transformasi pendidikan membolehkan kami membantu guru dan sekolah lain di Malaysia untuk menguruskan peralihan dengan lebih baik kepada kaedah pembelajaran jarak jauh dan hibrid semasa pandemik Covid-19 ini," katanya.

Menurut Rasman, bukan sahaja pembelajaran jarak jauh malah teknologi digital dimanfaatkan membolehkan aktiviti kokurikulum diteruskan, walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Katanya, sejak itu, SK Taman Bukit Indah sudah mengadakan berpuluh webinar, termasuk sesi perkongsian antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Korea Selatan.

"Daripada situ, sekolah kami diberi peluang untuk berkongsi amalan terbaik dengan lebih 60 sekolah dari Filipina dan Indonesia.

"Tahun depan, kami merancang untuk terus berkongsi ilmu dan kepakaran dengan 45 sekolah di Iskandar Puteri. Kami juga bercadang untuk melatih lebih daripada 90 guru dan 900 murid.

"Ia sekali gus menjadikan mereka kumpulan teras di sekolah untuk terus menyebarkan ilmu dan menggalakkan pendigitalan dalam kalangan komuniti pendidikan," katanya.

SK Taman Bukit Indah ketika ini mempunyai hampir 700 murid serta 50 guru dan kakitangan.

Sekolah ini adalah satu daripada lima Sekolah Bestari Microsoft di Malaysia selain SK Taman Senangan di Pulau Pinang, SK Bandar Hilir di Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian di Kelantan dan SMK Kuala Perlis di Perlis.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata, pendekatan yang dimainkan SK Taman Bukit Indah harus dipuji.

"Kami terharu melihat pendidik negara kita merintis dan mencipta kejayaan menerusi teknologi.

"Pendekatan berasaskan usaha sama sekolah ini terhadap pendigitalan dan dedikasi mereka untuk melengkapkan setiap insan dalam masyarakat dengan kemahiran yang perlu untuk membolehkan pembelajaran diteruskan, walaupun dalam keadaan pandemik, perlu diiktiraf dan dipuji.

"Kami akan terus berganding bahu dengan sekolah ini dan komuniti pendidikan Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Raman turut menjemput lebih banyak sekolah untuk bekerjasama dengan pihaknya dan menjadi sebahagian daripada program Sekolah Bestari Microsoft.

"Ia bagi membolehkan kami terus menyokong mereka dalam usaha bersama mencorakkan masa depan pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:48 PM