GURU agama terbabit. FOTO Ihsan Pembaca
GURU agama terbabit. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Perjalanan seorang guru agama wanita ke rumah anak muridnya untuk pembelajaran agama bertukar tragedi apabila dia cedera dalam cubaan ragut oleh dua lelaki di tepi jalan besar Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian 4.30 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 23 tahun luka di lutut, peha dan bibir.

Beliau berkata, mangsa menunggang motosikal dari Sungai Air Tawar ke Pekan Parit Baru melalui jalan besar Sungai Tengar, Sungai Air Tawar.

"Ketika melalui lokasi, datang sebuah motosikal ditunggang dua lelaki yang cuba mengambil beg tangan mangsa di dalam raga motosikal.

"Suspek tidak berjaya mengambil beg tangan itu berikutan mangsa menolak tangan suspek. Mangsa kemudian terjatuh di tepi jalan dan mengalami luka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agus Salim berkata, tiada kerugian dialami mangsa memandangkan beg tangan miliknya tidak sempat diambil suspek.

Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang melihat kejadian kerana ia berlaku di tepi jalan yang bersemak-samun.

"Mangsa tidak dapat mengecam suspek yang memakai helmet bertutup 'bervisor' selain tidak mengingat jenis dan nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek.

"Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 9:45 AM