Ahmad Faizal Azumu bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi memandu kereta keluar dari Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak selepas sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ahmad Faizal Azumu bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi memandu kereta keluar dari Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak selepas sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
BERNAMA

Ipoh: "Jumpa di Seri Satria," demikian seloroh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Seri Satria adalah kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri yang terletak di Putrajaya.

Beliau mengucapkan kata-kata seloroh itu selepas sidang media di kediaman lama Menteri Besar di sini, untuk memaklumkan sudah menyembah surat peletakan jawatan itu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa menghadap baginda di Istana Kinta di sini.

Sebelum ini tular poster dengan kata-kata mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun yang kononnya akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam.

Beliau hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul itu yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 8:27 PM