Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kerajaan tidak bercadang melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun, sebaliknya komited menangani pengangguran yang merekodkan kadar 5.3 peratus sejak Mei lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan kini lebih menumpukan usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat walaupun negara dilanda pelbagai krisis terutamanya kesan pandemik Covid-19.

"Unjuran kita untuk mengatasi pengangguran dari Mei adalah 5.3 peratus, kita ke arah unjuran 4.56 peratus.

"Kita lihat keadaan hari ini negara sedang dilanda krisis ekonomi, krisis kesihatan yang menjejaskan peluang pekerjaan. Kalau dapat kurang pengangguran, ia adalah kejayaan besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan asrama pekerja di Asrama Frontier Park di Desa Cemerlang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KSM, Datuk Jamil Rakon.

Media sebelum ini melaporkan Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad mencadangkan kerajaan supaya meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua, berikutan aspek demografinya yang berganjak ke era kadar kesuburan dan kematian yang rendah.

Katanya, Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa, iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.

Jelas Firas berkata, negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.

M Saravanan (tengah)  melihat kemudahan di asrama pekerja. FOTO Zain Ahmed
M Saravanan (tengah) melihat kemudahan di asrama pekerja. FOTO Zain Ahmed

Ketika ini, Malaysia menetapkan had umur persaraan pada 60 tahun, yang diguna pakai sejak 2012. Kerajaan mengkaji kadar usia persaraan sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 tahun.

Perubahan pertama pada 2001 yang menaikkan had usia 55 tahun kepada 56 tahun, diikuti pada 2008 yang meningkat kepada 58 tahun sebelum perubahan terkini pada 2012.

Dalam pada itu, Saravanan berkata KSM menerima sebanyak 3,927 permohonan Perakuan Penginapan sejak penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi tempoh 1 September hingga 29 November lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 40 peratus permohonan sudah diluluskan dengan mengambil kira ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan.

Katanya, kepatuhan terhadap Akta 446 penting bagi memastikan negara ini termasuk majikan mahupun penyedia penginapan berpusat menunjukkan ketegasan dalam mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam menyediakan penginapan kondusif.

"Majoriti majikan yang membuat permohonan itu merangkumi sektor seperti pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan pertanian yang memiliki pekerja asing.

"Bagi majikan yang gagal mematuhi Akta 446 ini mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan belum sedia naikkan usia persaraan
  • Malaysia disaran tingkatkan usia persaraan kepada 65 tahun
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:41 PM