Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, selepas diputuskan menerusi undian belah bahagi dengan 110 menyokong manakala 104 tidak menyokong dan enam tidak hadir.

Terdahulu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggulung perbahasan di peringkat kementeriannya hari ini.

DEWAN Rakyat. FOTO BERNAMA
DEWAN Rakyat. FOTO BERNAMA

Sebelum pengundian dijalankan, Azhar membuat pemakluman iaitu ketua penghitung undi mempunyai pemerhati dari blok berlawanan.

"Untuk Kota Bharu, beliau akan diperhatikan oleh Tanjong Malim, Rembau (Batu Gajah), Tasik Gelugor (Kangar), Arau (Hulu Langat), Kluang (Sabak Bernam), Muar (Pasir Mas), Lumut (Jempol), Permatang Pauh (Pontian) dan Sungai Petani akan diperhatikan oleh wakil rakyat Sibuti," katanya.

Selain Miti, hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dijangka menggulung perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 1:15 PM