LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai dua pegawai atasan SPRM menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai dua pegawai atasan SPRM menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan.
Safeek Affendy Razali


POLIS Selangor mengesahkan sudah menerima dua laporan polis berhubung kes ugutan terhadap dua pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan berkenaan dibuat secara berasingan oleh dua pegawai kanan SPRM Putrajaya terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, tengah hari tadi, selepas mereka menerima bungkusan mengandungi satu butir peluru hidup 9mm bersama perkataan ugutan bertulis ‘Jaga Baik Lepas Ini’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, susulan laporan berkenaan pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan kes berkenaan secara terperinci.

“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes berkenaan bagi membantu siasatan.

“Justeru saya meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua pegawai SPRM terbabit dilaporkan menerima bungkusan berbentuk ugutan itu dalam peti surat rumah mereka di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Tangkas, Kajang.

Berdasarkan kiriman ugutan dan jenis peluru diterima dua pegawai berkenaan, berkemungkinan pengirim bungkusan itu dipercayai individu sama.

Pada masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Berita berkaitan

'Peluru hidup, nota ugut dua pegawai SPRM'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:54 PM