GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Sibu: Polis menahan suspek utama bagi kes ugutan jenayah terhadap pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuching, Khamis lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sungai Merah di sini, pada 9.10 pagi, hari ini.

Katanya, susulan penahanan penganggur itu, pihaknya yakin kes berkenaan dapat diselesaikan.

"Polis akan memohon perintah tahanan reman esok dan suspek akan dibawa ke Kuching untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

"Ini termasuk mengenal pasti adakah dia juga terbabit dalam aktiviti gengsterisme dan sindiket penyeludupan kerana dalam siasatan awal, dia didapati pernah diberkas mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta mempunyai tujuh rekod lampau termasuk pecah rumah dan ugutan jenayah," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai kanan JKDM menerima sampul surat berwarna coklat berisi dua butir peluru hidup yang dikirim ke rumahnya di Jalan Matang, Kuching bersama nota bertulis 'Got two bullets, one long one short, which one you want'.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Abdul Latif Abdul Kadir pula dilapor berkata, pegawainya dipercayai menerima ugutan berkenaan selepas mengetuai operasi barang tidak bercukai di Pelabuhan Rajang di Sibu dan Pelabuhan Bintulu antara 21 Oktober dan 13 November lalu yang membabitkan rampasan bernilai lebih RM2.64 juta.

Berita berkaitan

3 lelaki direman kirim 2 peluru hidup kepada pegawai kastam

Tiga individu disyaki ugut pegawai kastam ditahan

  • Sindiket 'hantar' peluru, ugut bunuh pegawai kastam
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:49 PM