ANGGOTA Batalion 2 PGA Kulim sentiasa mengawasi kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand selain dibantu dengan unit dron untuk memantau kegiatan penyeludupan di sempadan. FOTO AMRAN HAMID
ANGGOTA Batalion 2 PGA Kulim sentiasa mengawasi kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand selain dibantu dengan unit dron untuk memantau kegiatan penyeludupan di sempadan. FOTO AMRAN HAMID
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Penggunaan dron banyak membantu mengesan kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand selain kawalan ketat di sekitar kawasan pagar sempadan negara ini.

Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman banyak membantu dalam melakukan tugas di kawasan yang dikenal pasti sebagai hot spot berlakunya penyeludupan di sempadan.

Beliau berkata, imej pergerakan yang dirakamkan melalui dron boleh dikesan pada waktu malam dan siang sejauh 15 kilometer (km) dan boleh mengesan pergerakan haiwan dan manusia dalam imej infrared.

"Banyak kejayaan penyeludupan terutama daun ketum yang kita dapat sepanjang bulan ini dengan bantuan Unit Dron yang kemudian disalurkan kepada anggota yang bertugas mengawal pagar sempadan untuk mengambil tindakan di kawasan yang dikenal pasti.

"Selain itu, kawasan sempadan diperketatkan dan kini dijaga oleh pasukan Batalion 2 PGA Kulim sepanjang 109 kilometer dari Martek Taktikal Bukit Kayu Hitam, di sini ke Padang Besar, Perlis," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Kompeni C Batalion 2 PGA Kulim, Asisten Superintendan Mohd Zahir Md Saad mengakui penyeludup sanggup menyamar untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa di kawasan berhampiran pagar sempadan.

Beliau berkata, ada yang menyamar sebagai pemancing, pekebun dan penoreh untuk melihat gerak geri pasukan PGA ketika menjalankan tugas memantau di kawasan sempadan.

"Anggota kami pernah terserempak dengan penyeludup ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini dan mereka cuba mencari ruang untuk masuk ke negara ini dengan pelbagai cara.

"Pergerakan anggota PGA sentiasa diperhatikan malah penyeludup sentiasa mengkaji dan mencari peluang untuk keluar masuk ke negara ini untuk menyeludup barangan larangan," katanya.

Mohd Zahir berkata, kebiasaannya penyeludup dari negara jiran (Thailand) akan memotong pagar terlebih dahulu untuk memudahkan barangan dibawa keluar dan masuk.

Katanya, mereka kemudian mencari peluang pada waktu tengah malam atau awal pagi selain waktu solat Jumaat atau berbuka puasa serta penukaran syif anggota bertugas.

"Namun sekarang dengan bantuan Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan rondaan menggunakan helikopter memudahkan pasukannya untuk mengesan pergerakan penyeludup.

"Pemantauan melalui udara akan melaporkan sekiranya ternampak kelibat penyeludup dan maklumat akan dilaporkan kepada anggota yang melakukan rondaan di bawah dan ini memudahkan anggota kita menangkap penyeludup yang mencurigakan di kawasan pagar sempadan," katanya.

Mohd Zahir berkata, sekiranya terdapat kerosakan pada pagar di sepanjang sempadan, tindakan yang anggota kami ambil adalah dengan membuat laporan kerosakan segera untuk memudahkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membaikinya.

Menurutnya, pemantauan menggunakan motosikal dilakukan pada sebelah siang manakala rondaan berjalan kaki di kawasan sempadan akan dilakukan dalam tempoh 24 jam membabitkan lebih dua anggota di setiap kawasan.

Beliau berkata, ianya berlaku selepas insiden tembakan yang berlaku membabitkan dua anggota Batalion 3 PGA Bidor, Perak yang ditembak penyeludup menyebabkan seorang daripadanya terkorban manakala seorang lagi parah.

"Selain itu, rondaan turut dilakukan oleh unit peronda MPV pada waktu siang dan malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 11:37 AM