Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO BERNAMA
Anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengkaji sistem komunikasi yang bersesuaian, bagi memudahkan perhubungan antara pegawai semboyan dan anggota yang melakukan rondaan di sempadan negara.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya menghadapi masalah untuk berhubung dengan anggota, yang melakukan rondaan di beberapa kawasan tertentu.

"Sekiranya mempunyai sistem komunikasi yang lebih baik, kita akan dapat menghubungi anggota yang membuat rondaan pada bila-bila masa sahaja.

"Ketika ini anggota yang melakukan rondaan terpaksa menaiki motosikal ke kawasan yang mempunyai 'line' (liputan) untuk membuat laporan kepada pegawai semboyan," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan kawasan sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Abdul Ghani berkata, ketika kejadian berbalas tembakan membabitkan anggota PGA dengan penyeludup pada Selasa, anggota PGA yang tercedera Sarjan Norihan Tari terpaksa menunggang motosikal sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian tembak-menembak, bagi mendapatkan bantuan.

Dalam insiden awal pagi Selasa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh, manakala rakannya Sarjan Norihan 39, parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 (Tembok Sempadan) di Padang Besar, Perlis.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

Abdul Ghani berkata, insiden tersebut tidak mematahkan semangat juang anggotanya untuk terus menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

"Saya difahamkan oleh pegawai pemerintah dan unit risik, mereka lebih bersemangat dan rondaan dipertingkat dari semasa ke semasa," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin dilapor hari ini berkata, kerajaan akan mengkaji perolehan baharu aset PDRM bagi mengawal negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 3:17 PM