FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 558 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan diarah berpatah balik sejak 9 November lalu sehingga semalam, berikutan tidak mempunyai surat kebenaran pihak polis.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, selain tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, alasan yang diberikan tidak logik akal.

"Pendekatan itu menunjukkan polis Kelantan bersungguh-sungguh untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan meminta mereka yang mahu melakukan rentas negeri mendapatkan surat kebenaran terlebih dahulu.

"Pada masa sama, kita meminta masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, sehingga kini, polis Kelantan turut menambah sehingga 20 sekatan jalan raya (SJR), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

"Kebanyakan satu atau dua sekatan di setiap daerah namun di Machang kita mempunyai tiga SJR memandangkan kes di daerah itu tinggi.

"Alhamdulillah memasuki hari kelima PKPB di Kelantan, tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi dengan jumlah kenderaan juga berkurangan kepada 50 peratus.

"Jumlah kompaun yang dikeluarkan setakat ini hanya 27 kompaun sahaja. Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap PKPB adalah tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:38 PM