Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Industri francais di Sarawak mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat dan menyumbang kepada peningkatan sosio- ekonomi rakyat setempat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat sembilan buah syarikat francaisor yang berasal dari Sarawak serta memiliki 98 buah outlet di seluruh Malaysia dan 83 buah outlet daripada jumlah berkenaan beroperasi di Sarawak.

Menurutnya, salah satu daripada jenama francais Sarawak iaitu Sugar Bun, juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui 11 buah outlet di luar negara iaitu Brunei (9 buah outlet) dan masing-masing sebuah outlet di Australia dan Bangladesh.

"Selain itu, terdapat lapan francaisor lain daripada jenama tempatan dan antarabangsa yang membuka 16 outlet di Sarawak," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di parlimen hari ini.

Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai sejauh manakah kejayaan program Francais di Sarawak dan apakah usaha kementerian untuk mempergiatkan lagi penglibatan usahawan muda dalam bidang francais.

Katanya, kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi membantu kemasukan golongan muda ke dalam industri francais.

Katanya,melalui skim ini, mereka berpeluang untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjalankan perniagaan francais mikro dan mampu milik yang ditawarkan oleh francaisor.

"KPDNHEP berpandangan bahawa masih terdapat banyak ruang dan peluang untuk mengembangkan industri francais bukan saja di Sarawak bahkan di seluruh negara dan akan terus mempergiatkan lagi aktiviti mempromosikan dan membangunkan industri francais ini di peringkat domestik dan antarabangsa.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 12:01 PM