GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti empat kawasan paling berisiko berlakunya banjir pada tahun ini berikutan peralihan Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, antara kawasan berisiko adalah jajahan Kota Bharu, Pasir Mas-Rantau Panjang, Tumpat-Pengkalan Kubor dan Pasir Puteh selain sepanjang jajaran Sungai Kelantan bermula di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Machang dan Bachok.

Beliau berkata, bagi memastikan kesiapsiagaan JBPM menghadapi banjir, arahan pembekuan cuti kepada 1,500 anggota termasuk pegawai bomba bantuan serta pasukan bomba sukarela (PBS) di seluruh negeri sudah dikeluarkan sejak 1 November lalu.

Katanya, jadual bertugas disusun atur semula bagi memastikan pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia.

"Sebagai persediaan awal, saya mengarahkan anggota supaya membuat rondaan di kawasan dikenal pasti termasuk mereka yang sakit, orang tua dan kanak-kanak bagi memudahkan proses pemindahan dan tindakan segera untuk menyelamat mangsa ketika berlakunya banjir.

"Pada masa sama, kami berpandukan garis panduan dan maklumat diberikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk mengetahui taburan hujan serta paras bacaan di sungai utama.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, bilik gerakan banjir di Pusat Gerakan Operasi (PGO) sudah dibuka sepenuhnya pada awal bulan ini untuk memantau keadaan semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada mereka yang berada di kawasan berisiko banjir supaya peka dan mendengar arahan agensi keselamatan untuk berpindah.

Katanya, sekiranya mereka sudah berpindah dan berada di kawasan selamat, jangan sesekali berpatah balik kerana ia mungkin akan memberi risiko kepada pasukan penyelamat terutama di waktu tengah malam.

"Pada masa sama, dokumen penting perlu diletakkan di tempat tinggi dan selamat selain memeriksa suis elektrik serta bahan mudah terbakar seperti minyak petrol dan tabung gas sebelum premis ditinggalkan.

"Ibu bapa perlu mengawal anak mereka dan jangan menganggap musim tengkujuh sebagai pesta air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:57 PM