Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Individu yang masuk ke Sarawak atas tujuan kecemasan boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan kos kuarantin yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) dengan alasan munasabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri sudah meminta penjelasan berhubung isu itu daripada pihak pengurusan JBPNS susulan aduan yang diterima.

"Mereka memaklumkan jika ada kes seperti ini, mereka boleh merayu pengurangan kepada jawatan kuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

"Ia seperti yang berlaku di Semenanjung, ada kes yang pulang (dari luar negara) dan tidak mampu untuk membayar kos kuarantin," katanya pada sidang media harian, hari ini.

ISMAIL Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. FOTO Bernama.

Ismail Sabri berkata, individu berkenaan boleh merayu kepada Menteri Kesihatan sama ada untuk mengurangkan malah mengecualikan bayaran.

"Mereka perlu mengemukakan alasan munasabah dan Menteri Kesihatan menggunakan kuasa di bawah Akta 342 untuk pengecualian atau pengurangan bayaran.

"Kita memahami jika rayuan itu berasas dan boleh diberikan pengurangan malah mungkin dikecualikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:13 PM