Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan Perak mengarahkan penutupan sementara The Banjaran Hotspring Retreat, di sini, susulan insiden tanah runtuh mengakibatkan dua maut, awal pagi semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, operasi resort itu dihentikan sementara sehingga menerima arahan lanjut.

"Susulan kejadian semalam, pengurusan pusat peranginan berkenaan diarah untuk menutup sementara operasi sehingga arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

"Kita juga dimaklumkan semua tetamu yang menginap di situ dipindahkan di atas faktor keselamatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal turut meninjau lokasi kejadian bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, pihaknya sudah diberi taklimat oleh JMG serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berhubung langkah keselamatan di lokasi kejadian.

Katanya, susulan insiden itu kerajaan negeri mengarahkan pemantauan ke atas semua cerun bukit batu kapur berisiko dipertingkatkan dengan serta-merta.

"Kita sudah mengarahkan pihak berkaitan untuk memantau semua kawasan terutama berdekatan dengan bukit batu kapur berikutan hujan lebat luar biasa sejak beberapa hari ini.

"Setakat ini, siasatan awal mendapati pembangunan pusat peranginan itu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan di negeri ini," katanya.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan dua individu yang terperangkap dalam tanah runtuh ditemui meninggal dunia di bilik jakuzi resort itu.

Mangsa yang maut ialah Ooi Chee Wei, 39, dan Lee Tze Juin, 32.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kerana terhempap tembok dan tanah sehingga mengakibatkan kecederaan pada tubuh badan.

AHMAD Faizal (dua kiri) melawat di kawasan kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah unit resort pelancongan di kawasan gunung di Tambun. FOTO Ihsan SUK Perak.
AHMAD Faizal (dua kiri) melawat di kawasan kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah unit resort pelancongan di kawasan gunung di Tambun. FOTO Ihsan SUK Perak.

Berita berkaitan

Cerun runtuhan masih belum stabil

Hujan berterusan boleh sebabkan tanah runtuh

2 mangsa tanah runtuh tidak langgar PKPB

Polis sahkan identiti 2 mangsa tanah runtuh

Lokasi tanah runtuh belum selamat

Resort patuhi syarat keselamatan

Hujan lebat, struktur lemah dorong tanah runtuh

Dua mangsa terperangkap tanah runtuh ditemui maut [METROTV]

2 terperangkap tanah runtuh di Tambun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:29 PM