Redzuan Muharam

Kajang: Pertengahan September lalu adalah waktu sukar buat ibu kepada seorang anak, Syahinaz Abdul Majeed apabila diberhentikan kerja sebagai pembantu di premis pengurup wang berikutan perniagaan terjejas akibat Covid-19.

Namun, apa yang berlaku itu bukannya pengakhiran, sebaliknya permulaan baru buat Syahinaz, 22, yang kini menjadi peniaga selepas membuka gerai diberi nama 'Nasi Lemak Kene Benti Keje' bermula 2 Oktober lalu di Taman Koperasi Cuepacs Batu 12, di sini.

Syahinaz berkata, dia tiada pengalaman berniaga sebelum ini malah tidak tahu cara untuk menyediakan nasi lemak menyebabkan dia belajar dengan ibunya, Thahira Beevi Shahrul Hamid, 63, selain melihat cara masakan di YouTube.

"Sebelum ini , saya bekerja sebagai pembantu di premis pengurup wang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, namun perniagaan agak terjejas sejak negara diancam Covid-19.

"Pada mulanya, kakitangan lain diberhentikan tetapi akhirnya saya turut menerima nasib sama.

"Memang sedih apabila diberhentikan kerana sudah empat tahun bekerja di situ, tetapi apa boleh buat kerana sampai di situ saja rezeki saya," katanya.

Syahinaz menyediakan nasi lemak di gerainya. FOTO ASWADI ALIS.
Syahinaz menyediakan nasi lemak di gerainya. FOTO ASWADI ALIS.

Syahinaz berkata, rutin hidupnya berubah 180 darjah sejak menjadi peniaga dan waktu pagi digunakan untuk menyediakan bahan memasak atau ke pasar membeli keperluan sebelum keluar berniaga pada sebelah petang.

Menurutnya, dia menyiapkan bahan untuk memasak bermula 9 atau 10 pagi dan pada hari tidak berniaga iaitu Selasa atau Jumaat, dia akan ke pasar untuk membeli bahan untuk nasi lemak.

Katanya, pada 1 tengah hari, dia mula memasak dan mujurlah emak tinggal bersama serta membantu menjaga anak ketika sibuk di dapur.

"Gerai saya dibuka mulai 6 petang hingga 10 malam dan dibantu suami Nor Afizi Noor Shamsuddin, 29, atau rakan.

"Cabaran ada pada hari pertama berniaga apabila tidak dapat membuka gerai kerana hujan lebat, jadi saya cuba hebahkan perniagaan dan ambil pesanan menerusi WhatsApp, Facebook (Fb) dan Instagram (IG).

"Ketika itu, rakan, kenalan dan ahli keluarga terkejut apabila dapat tahu saya berniaga dan mereka memberi sokongan. Alhamdulillah, sambutan kini semakin memberangsangkan dan saya sudah mempunyai pelanggan tetap," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 5:19 PM