GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jumlah kluster baharu Covid-19 terus meningkat apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sembilan lagi kluster baharu di Sabah, Sarawak, Lembah Klang, Pulau Pinang ,Johor dan Terengganu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Titir, Kluster Omadal, Kluster Bandaran, Kluster Jambul, Kluster Bayan, Kluster Mentari, Kluster Jernih, Kluster Seladah dan Kluster Makekar.

Menurutnya, Kluster Titir membabitkan daerah Keningau, Sabah, dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-20,232) dikenal pasti hasil saringan kendiri pada 18 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Keningau.

"Bagi Kluster Omadal pula, ia membabitkan daerah Semporna di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-21,073) dikenal pasti positif Covid-19 dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria, Semporna.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 20 lagi kes positif Covid-19 selepas sejumlah 188 individu disaring," katanya tadi.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bandaran pula membabitkan daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-18,471.

"Kluster Jambul pula membabitkan daerah Sandakan di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,932) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan 9 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19 dan seramai 30 individu sudah disaring hari ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Bayan pula membabitkan daerah di Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Timur Laut di negeri Pulau Pinang di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke 22,930) dikenal pasti positif Covid-19 pada 21 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Kluster Mentari pula membabitkan daerah Petaling, Klang dan Gombak di negeri Selangor, daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Manakala Kluster Jernih pula membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-24,435 hingga kes ke-24,438) dikenal pasti positif Covid-19 pada 22 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Rembau," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, Kluster Seladah pula membabitkan daerah Kuching dan Serian, negeri Sarawak manakala kluster Makekar pula membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulai di negeri Johor, daerah Kemaman dan Dungun, Kuala Terengganu dan Marang di negeri Terengganu serta daerah Klang di negeri Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:48 PM