Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan perkarangan sebuah hotel di ibu negara sebentar tadi.

Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan yang dihadiri pemimpin Perikatan Nasional (PN) sejak jam 12.30 tengah hari.

Antara yang kelihatan ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Turut hadir, Presiden Parti Bersatu Sabah, Maximus Ongkili; Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S Vigneswaran.

Difahamkan mesyuarat berkenaan diadakan untuk persediaan parti mengenai Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas dan Pembentangan Belanjawan 2021 minggu ini.

Muhyiddin diiringi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri) dan Mohamed Azmin (kanan) selepas menghadiri perjumpaan di Hotel Hilton. FOTO Hairul Anuar Rahim
Muhyiddin diiringi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri) dan Mohamed Azmin (kanan) selepas menghadiri perjumpaan di Hotel Hilton. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyeru ahli Dewan Rakyat untuk menyokong belanjawan yang akan dibentangkan.

Ketika ditemui media, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah pertemuan biasa membabitkan pemimpin parti.

"Sebagai ahli parti kerajaan, kami diberi penerangan mengenai situasi terkini. Ia adalah persediaan untuk sesi (parlimen) kali ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:16 PM