REMAJA yang dikompaun selepas ingkar perintah kuarantin. FOTO ihsan polis
REMAJA yang dikompaun selepas ingkar perintah kuarantin. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan

Beaufort: Seorang gadis berusia 17 tahun dikompaun kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas keluar ke rumah neneknya di Kampung Lumat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 10.44 pagi kemudian bertindak mengesan suspek di rumahnya.

Katanya, hasil siasatan mendapati, gadis terbabit masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya di Lumat Saujana, selama 14 hari dengan memakai gelang kuarantin.

"Dia dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar dari rumah untuk ke rumah neneknya atas urusan peribadi," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang kuarantin di rumah berada di tempat awam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 9:09 PM