GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Beaufort: Meskipun dalam tempoh kuarantin di rumah, seorang lelaki di sini berdegil dan melanggar arahan dengan keluar untuk berurusan di Pejabat Daerah Beaufort, kelmarin.

Lelaki berusia 40 tahun yang memakai gelang kuarantin itu dikatakan ke pejabat kerajaan itu kira-kira jam 9.35 pagi untuk menghantar borang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung perkara itu kemudiannya mengesan lelaki terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati, lelaki terbabit masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya dan diarahkan memakai gelang kuarantin.

"Dia didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar dari rumah untuk ke Pejabat Daerah Beaufort.

"Dia dikompaun kerana melanggar Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, polis sentiasa mengambil berat terhadap perbuatan melanggar PKPB dan akan terus memantau dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Azmir menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang kuarantin di rumah berada di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 3:42 PM