INTAN Nurulhaleda Mohd Yunus (kanan) di bawa ke Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Farah Marshita Abdul Patah
INTAN Nurulhaleda Mohd Yunus (kanan) di bawa ke Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Farah Marshita Abdul Patah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah yang sebelum ini didakwa bersama suaminya di Mahkamah Majistret Shah Alam berhubung penipuan pakej pelancongan, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini atas lapan pertuduhan menipu pakej pelancongan yang tidak wujud dan tanpa lesen.

Intan Nurulhaleda Mohd Yunus, 26, yang hamil empat bulan mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan, di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Dia bersama seorang lagi yang masih belum dituduh iaitu suaminya, didakwa atas empat pertuduhan menipu empat individu iaitu jurutera Siti Nur Farahain Zainol, 30, penjual insurans Azmadi Anwar Ahmad, 37, pegawai perhubungan awam Mohd Syamil Mohd Yusoff, 51, dan pegawai akaun Nur Azneen Hanis Apili, 27.

Tertuduh didakwa memperdayakan semua mangsa untuk memasukkan wang yang kesemuanya berjumlah RM2,676 ke dalam akaun Maybank atas nama syarikat I&I Paradise Venture melalui pindahan dalam talian di mana tertuduh menawarkan pakej pelancongan yang tidak wujud.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berasingan di Taman Melawati, Medan Selera Taman Bukit Indah, Kondominum Bella Vista dan Taman Sri Keramat di sini antara 20 Mei hingga 15 Ogos 2020, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan bersalah.

Intan Nurulhaleda turut dituduh atas empat lagi pertuduhan menawarkan pakej pelancongan kepada kesemua mangsa sama tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 5 (1) Akta Industri Pelancongan 1992, pada tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Mohd Fikah Sanusi, yang mewakili Intan Nurulhaleda memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan suaminya juga sedang direman di Penjara Sungai Buloh.

"Anak guam saya sedang hamil empat bulan dan kini tinggal bersama keluarganya. Bapanya seorang tukang masak yang berpendapatan RM3,000 sebulan. Dia juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan," kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,400 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, suami tertuduh tidak dituduh di mahkamah hari ini kerana tidak boleh dibawa keluar dari Penjara Sungai Buloh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November ekoran pandemik Covid-19.

Pada 9 Oktober lalu, Intan Nurulhaleda dan suaminya, Muhammad Iqbal Mohd Sani, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas 39 pertuduhan sama membabitkan kerugian berjumlah RM10,454.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 3:05 PM