Mohd Roji Kawi

Kuching: Penduduk Kampung Haji Baki di sini, membeli keperluan harian secukupnya bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dikuatkuasakan.

Tinjauan mendapati, ramai penduduk kampung berkenaan mengambil peluang untuk ke pasar raya berdekatan di pekan Kota Sentosa kerana mereka hanya dibenarkan keluar sebelum PKPD dikuatkuasakan malam ini.

Penduduk, Awang Azmil Awang Ahmad berkata, penduduk memahami arahan itu dan akur demi memutuskan rantaian Covid-19.

"Penduduk sudah dimaklumkan mengenai langkah PKPD dan dinasihati untuk membuat persediaan, khususnya memastikan keperluan harian mencukupi," katanya.

Sehingga semalam, 25 kes positif Covid-19 dikesan di kampung itu sejak kes pertama dikesan 18 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, PKPD itu akan membabitkan 530 rumah dengan kira-kira 4,200 orang di Blok A, B dan C di kampung berkenaan.

"Semua surau, masjid, rumah ibadat lain dan sekolah dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh itu dan semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk, manakala bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri," katanya kepada media berhubung PKPD itu semalam.

TINJAUAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki.FOTO Nadim Bokhari
TINJAUAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki.FOTO Nadim Bokhari

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:44 PM