LIMA lelaki yang ditahan PPM selepas menembak ikan. FOTO ihsan PPM
LIMA lelaki yang ditahan PPM selepas menembak ikan. FOTO ihsan PPM
BERNAMA

Langkawi: Tindakan lima lelaki membuang peralatan menembak ikan bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal, apabila mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi pada jarak 0.2 batu nautika dari daratan taman laut Pulau Payar, tengah hari semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, anggotanya yang sedang melaksanakan penugasan Op Benteng menerima maklumat awam mengenai kegiatan lima individu warga tempatan itu, sebelum sebuah bot peronda digerakkan ke lokasi kejadian.

"Menyedari kehadiran bot ronda PPM Wilayah Satu Langkawi, kelima-lima mereka yang berusia antara 20 hingga 57 tahun itu membuang peralatan menembak ikan ke laut ketika kejadian pada 1 tengah hari.

"Anggota polis kemudiannya bertindak menyita sebuah bot aluminium serta enjin sangkut, tong ikan dan empat alat menyelam dan hasil tangkapan, semua hasil rampasan dianggarkan RM70,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohizan berkata, semua suspek yang ditahan bersama barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 43(1)(a), Akta Perikanan 1985 iaitu berada dalam taman laut atau rizab laut di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah-(a) menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.

Katanya kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:29 PM