MUHAMMAD Sanusi (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai  kepada Ahmad Bawadir  (dua dari kiri) untuk disampaikan kepada  ketua keluarga kakitangan Penjara Pokok Sena. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Ahmad Bawadir (dua dari kiri) untuk disampaikan kepada ketua keluarga kakitangan Penjara Pokok Sena. FOTO Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan

Pokok Sena: Kakitangan Penjara Pokok Sena kini menjadi antara barisan hadapan yang mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengawal banduan positif Covid-19 dirawat di situ.

Pengarah Penjara Pokok Sena, Jamil Razif Kassim berkata, wadar perlu berkawal secara 24 jam bagi memastikan tahap keselamatan penjara yang mempunyai 3,420 banduan itu terjamin.

Katanya, ketika ini moral kakitangan tinggi, namun mengakui mereka berdepan tekanan apabila perlu memakai PPE sepanjang masa.

"Kakitangan bertugas dalam tekanan tinggi dan perlu mematuhi norma baharu, berbanding dahulu hanya bertugas selama lapan jam sahaja.

"Mereka perlu memakai PPE dan bertugas selama tiga ke empat jam sebelum berehat sebentar, dan kembali menyambung tugas bagi empat jam lagi.

"Wadar perlu berada di dalam penjara 24 jam," katanya ketika ditemui selepas hadir menyaksikan penyerahan sumbangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kepada keluarga kakitangan Penjara Pokok Sena yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil Razif berkata, sumbangan yang disampaikan kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) mampu menaikkan semangat kakitangan untuk terus bertugas.

"Kakitangan penjara kini menjadi antara barisan hadapan dan kita berterima kasih kerana mendapat bantuan kelengkapan PPE yang disediakan Kementerian Kesihatan.

"Kita juga mengalu-alukan pembukaan pusat rawatan sementara (MTC) Penjara Pokok Sena khusus untuk merawat banduan yang positif Covid-19," katanya.

Sehingga semalam, seramai 111 banduan Penjara Pokok Sena disahkan positif, manakala 17 kakitangan dan keluarga turut dijangkiti wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 2:34 PM