FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk meningkatkan kemudahan internet di sekolah seluruh negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin juga diminta memastikan fasiliti pendidikan ditambah baik untuk memberi kemudahan kepada pelajar.

Menurutnya, kemudahan internet dan perkakasan seperti komputer riba dan tablet perlu disediakan kepada pelajar untuk memudahkan mereka menjalani sesi pembelajaran secara virtual di rumah.

Katanya, pada masa sama pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana kekangan akibat Covid-19 masih boleh meneruskan pembelajaran dengan perkakasan lengkap.

"Jika fasiliti ini ada memang elok kerana kalau tidak pergi ke sekolah tapi masih boleh belajar secara virtual.

"Tapi malangnya kita tidak dapat lakukan kerana fasiliti itu belum lagi tersedia. Insya-Allah dapat satu tempoh akan datang, kita akan laksanakan," katanya.

Menurutnya, penutupan sekolah perlu dibuat kerana wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah kerana peningkatan kes Covid-19.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah pelajar yang hadir akan berkurangan dengan mendadak.

"Seperti kes di Selangor, kita putuskan untuk tutup sekolah termasuk di zon hijau seperti Sabak Bernam untuk tempoh dua minggu dan akan dibuka semula apabila keadaan bertambah baik," katanya.

Katanya, jadual kerja penjawat awam juga akan dikeluarkan bagi membolehkan mereka menjaga anak yang tidak dapat hadir ke sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:06 PM