Pemilik kedai, Salimon Suhir menunjukkan tempat tabung masjid diletakkan di hadapan pintu masuk premis perniagaan di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Pemilik kedai, Salimon Suhir menunjukkan tempat tabung masjid diletakkan di hadapan pintu masuk premis perniagaan di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Seorang lelaki berusia 20-an dipercayai mencuri tabung milik pengurusan masjid yang diletakkan di depan kedai perkakasan di Kampung Cahaya Baru, dekat sini, Ahad lalu.

Pemilik kedai, Salimon Suhir, 56, berkata tabung Masjid Kampung Cahaya Baru yang diletakkan di hadapan pintu masuk premis perniagaannya sejak Februari lalu pada awalnya bertujuan memudahkan orang ramai menderma untuk pembelian van jenazah, sebelum ia ditukar kepada tabung kebajikan masjid berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, lelaki terbabit datang ke kedainya dengan menaiki kereta Perodua Myvi bersama dua individu lain yang menunggu di dalam kereta itu dan membiarkan pintu belakang penumpang sebelah kiri terbuka.

Katanya, lelaki itu berlegar-legar di dalam kedai kira-kira 10 minit sebelum bertanyakan harga spanar sedangkan tanda harga sudah tertera dan ketika itu terdapat lima pelanggan lain.

"Tabung itu atas inisiatif saya bersama pengurusan masjid untuk membantu pembelian van jenazah dan memudahkan pelanggan menderma dan kutipannya sudah mencukupi pada April lalu.

"Jadi kini tabung itu diletakkan di hadapan kedai saya sebagai tabung untuk kebajikan masjid dan minggu lalu, pengurusan masjid sudah datang mengutip duit terkumpul.

"Jadi tidak banyak yang dicuri dan saya tidak pasti berapa jumlah wang dalam tabung itu dan pada masa sama tiada barang perniagaan diambil individu itu," katanya ketika ditemui di premis terbabit, hari ini.

Salimon berkata, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya memaparkan kelibat individu itu dan pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak pengurusan masjid bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, komuniti setempat berusaha mencari lelaki terbabit dan berjaya menemuinya, namun tabung berkenaan belum diperoleh semula dan tiada laporan polis dibuat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Cahaya Baru, Kamaruddin Jama, 50, berkata perbincangan bersama jawatankuasa masjid dilakukan selepas pertemuan secara bersemuka dengan individu didakwa mencuri tabung berkenaan.

"Isu ini diharapkan cepat selesai. Memang individu itu ada memohon maaf semalam. Saya cuma mengharapkan tabung itu dipulangkan. Kewajipan saya adalah memberi nasihat dan jangan ulangi kerana individu itu pun sudah berkeluarga.

"Pihak pengurusan masjid ada meletakkan beberapa tabung di sekitar daerah ini susulan pengumuman kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada ketika itu, masjid tidak dapat dikunjungi, malah kami turut menghadapi situasi masyarakat tidak bekerja yang amat memerlukan sumbangan bekalan harian seperti beras, minyak dan sebagainya.

"Sumbangan ini sebenarnya sedikit sebanyak membantu golongan memerlukan. Insiden seumpama ini diharapkan tidak memutuskan keinginan masyarakat untuk menyumbang kerana ia sebahagian daripada saham akhirat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 3:59 PM