Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Jazlan Yaakub.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: UMNO Kelantan memaklumkan kesemua 95 petugas parti itu yang ke Sabah bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) negatif Covid-19 selepas tiga kali menjalani ujian saringan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ujian saringan itu dilakukan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

"Ujian saringan berkenaan membabitkan kesemua petugas yang ke Sabah.

"Walaupun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, saya tetap mengarahkan agar kesemua petugas terbabit kuarantin diri selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga yang dicintai.

"Hari ini (semalam), kesemua petugas berkenaan sudah pulang ke pangkuan keluarga dengan penuh keyakinan bahawa mereka bebas wabak.

"UMNO Kelantan amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa tiada seorang di kalangan kami yang didapati positif Covid-19.

"Untuk kesemua petugas UMNO Kelantan, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas pengorbanan masa dan tenaga kepada parti ini, kepada ahli keluarga petugas, sekalung penghargaan terima kasih kerana meminjamkan mereka kepada parti demi sebuah perjuangan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, UMNO Kelantan mengambil pendekatan untuk kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di negeri Kelantan.

"Ia bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

"Kami bertugas di Sandakan yang ditakrifkan sebagai kawasan hijau, namun keberadaan kami di Sabah selama hampir setengah bulan itu amat lama.

"Oleh itu, memilih untuk kuarantin secara kendiri adalah wajar pada pandangan saya.

"Sepanjang tempoh kuarantin, pelbagai perasaan yang dialami, rindu pada keluarga, sedih, hiba dan gembira," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta masyarakat terus menjaga keselamatan diri, patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan sentiasa menjaga kebersihan untuk mencegah penularan pandemik itu dengan lebih serius.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 5:19 PM