Ruwaida Md Zain


Klang: Polis sudah mengenal pasti lelaki memakai gelang merah jambu dipercayai dalam tempoh kuarantin yang berada di stesen minyak di Bukit Tinggi, di sini seperti tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada 7.24 malam tadi, pihaknya mendapati video berkaitan berdurasi 64 saat di media sosial.

"Video itu menunjukkan insiden tegur-menegur antara seorang petugas kesihatan wanita dengan seorang lelaki yang dilihat memakai gelang berwarna merah jambu disyaki masih dalam kuarantin.

"Hasil semakan mendapati kejadian dipercayai berlaku di pam minyak di Persiaran Batu Nilam, Bukit Tinggi Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, tangkapan akan dilakukan selepas mendapat pengesahan suspek bebas Covid-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

PETIKAN rakaman video menunjukkan lelaki memakai gelang merah jambu di stesen minyak.
PETIKAN rakaman video menunjukkan lelaki memakai gelang merah jambu di stesen minyak.

"Suspek adalah lelaki tempatan yang berumur 30 tahun," katanya.

Dalam rakaman video yang tersebar itu, lelaki terbabit ditegur kerana keluar dari kuarantin malah menyebabkan orang ramai takut untuk menghampiri stesen minyak terbabit apabila melihat gelang merah jambu dipakainya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 1:21 PM