Gambar fail, Noraini Ahmad. FOTO NSTP.
Gambar fail, Noraini Ahmad. FOTO NSTP.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad memohon maaf terhadap kesulitan yang timbul susulan penangguhan serta-merta pendaftaran secara bersemuka bagi penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) kemasukan Oktober.

Permohonan itu dibuatnya menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi miliknya, hari ini.

Noraini menjelaskan, penangguhan pendaftaran itu dicadangkan selepas berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu, yang di luar jangkaan pihaknya.

Katanya, kementerian juga berbincang dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT selain Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memutuskan demikian.

"Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

"Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

"Kepada pelajar yang sudah tiba (di IPT), boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti. Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti," katanya,

Beliau turut berharap semua pihak dapat bersama-sama kerajaan membendung penularan wabak yang mengancam nyawa itu.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan kenyataan rasmi mencadangkan semua IPT supaya menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baharu dan lama, sebaliknya urusan pendaftaran digalak dilaksana secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 2:09 PM