FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Seorang lelaki yang merayu terhadap hukuman penjara kerana merompak bersenjatakan pisau 'rambo' terperangkap semasa membuat rayuan selepas Mahkamah Rayuan di sini, tadi, menegurnya membuat kenyataan berbeza.

"Awak tak ingat ya apa awak cakap sebelum ni? Kami baca benda (dokumen) depan kami," kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam kepada Mohd Fahmi Md Zin, 33, ketika lelaki itu membuat rayuan terhadap hukuman penjaranya.

Hakim Yaacob yang mengetuai panel tiga hakim iaitu Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak kemudian membacakan rayuan yang dibuat perayu (Mohd Fahmi) di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 19 Februari 2019.

"Dalam rayuan ini awak kata 'saya tidak menanggung keluarga. Keluarga saya tanggung saya dan saya menganggur. Saya minta duit dari keluarga dan dapat duit. Saya diajar begitu'.

"Itu yang awak cakap masa buat rayuan di Mahkamah Sesyen kan. Tapi hari ini awak cakap lain, cakap awak bantu keluarga," kata hakim itu.

Mohd Fahmi yang tidak diwakili peguam dan membuat rayuannya sendiri menundukkan kepala dan meminta maaf atas kesilapannya.

Mohd Fahmi: Masa itu (di Mahkamah Sesyen) fikiran saya bercelaru.

Hakim Yaacob: Awak guna pisau semasa merompak, pisau rambo kan?

Mohd Fahmi : Ya

Mohd Fahmi merayu hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam diketepikan dan memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara dua tahun lima bulan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Dia sebelum ini dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang lelaki di sebuah kedai serbaneka di Damansara Damai, Daerah Petaling pada jam 3.35 pagi 5 Januari 2018 mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berkata, hukuman itu mengikut trend semasa dan hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah penjara 14 tahun dan denda serta sebatan.

Mengikut keterangan kes, mangsa mengalami trauma selepas kejadian itu dan terus berhenti kerja di kedai serbaneka dan pulang ke kampung halamannya.

Panel tiga hakim itu kemudian sebulat suara menolak rayuan Mohd Fahmi atas alasan rayuan itu tidak mempunyai merit dan mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan.

Dalam kes berlainan, panel sama turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap Muhammad Afiq Sayuti, 22, atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk terhadap seorang remaja lelaki pada November 2016 menggunakan parang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 5:10 PM