Sebahagian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada majlis sambutan Hari Inovasi Peringkat PDRM tahun 2020, di Auditorium RTM. Turut kelihatan, FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Sebahagian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada majlis sambutan Hari Inovasi Peringkat PDRM tahun 2020, di Auditorium RTM. Turut kelihatan, FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Tujuh ratus anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikuarantin sebaik selesai membantu operasi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, daripada jumlah itu, 500 pegawai dan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak manakala baki 200 lagi dari Semenanjung.

"Ketika ini, kami masih menunggu keputusan ujian saringan itu dan semua pegawai dan anggota berkaitan ditempatkan di pusat kuarantin yang disediakan.

"Di Sarawak, mereka dikuarantin di sebuah pusat latihan di negeri itu manakala di Semenanjung pula, mereka ditempatkan di hotel yang diwartakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Kesemuanya belum dibenarkan pulang ke rumah kerana kita tidak mahu mengambil risiko berlaku penularan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Inovasi Peringkat PDRM 2020 di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ramli diminta mengulas jumlah pegawai dan anggota polis yang dikuarantin selepas terbabit pada PRN Sabah, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam usaha menyekat penularan Covid-19.

Katanya, PDRM tiada sebarang masalah kerana berpengalaman terbabit dengan PKP.

"Kita pernah laksanakan PKP dan melaksanakan dengan jayanya dalam membantu KKM. Oleh itu, kita bersedia jika PKP dilaksanakan kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 3:12 PM